Kerajaan usaha jana keupayaan tempatan majukan teknologi hijau sebagai penggerak kekayaan
KETIKA berucap pada Perundingan Bajet 2011, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa Pejabat Perdana Menteri akan menjadi pejabat hijau. Najib secara berseloroh menunggu-nunggu mengenai perubahan dan manfaat menerusi konsep pejabat hijau itu. Hijau bermakna selari dengan pelestarian dan mesra alam.
Realitinya semakin ramai prihatin terhadap impak alam sekitar kepada kehidupan dan pembangunan negara. Justeru, Bajet 2011 dijangka memberi penekanan kepada pelestarian alam sekitar, sekali gus menjana keupayaan tempatan untuk membangun dan memajukan teknologi hijau sebagai penjana kekayaan.
Hal ini bersesuaian dengan peningkatan pasaran barang dan perkhidmatan mesra alam tempatan dan antarabangsa. Selain itu, rating liputan media mengenai alam sekitar juga semakin meningkat sekali gus memberi lebih banyak ruang kepada media menyediakan program berbentuk kesedaran alam sekitar pada masa puncak.
Namun, masih banyak aspek perlu dipertingkatkan. Pada hemat saya, aspek utama ialah anjakan paradigma dalam konteks pemikiran dan gaya hidup. Ini membabitkan penyuburan minda lestari kepada semua warga. Secara ringkas, minda lestari bermaksud pemikiran, gaya fikir dan disiplin akliah yang menjadikan kesejahteraan masyarakat sebagai matlamat pembangunan menerusi alam sekitar yang bersih dan selamat, sistem dan pengurusan cekap, dan dasar serta amalan gaya hidup selari dengan fitrah insaniah.
Dalam konteks pembangunan fizikal, minda lestari memberi penekanan kepada keseimbangan ekosistem dalam seluruh aspek, dari perancangan, utiliti mesra alam, kaedah pembinaan dan teknologi mesra alam.
Hasilnya tercerna dalam bentuk dasar, inisiatif, program, tindakan, amalan, gaya hidup lestari untuk mencapai kesejahteraan. Dalam dokumen Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10), Najib menggariskan kerangka AFFIRM iaitu kesedaran (awareness), keupayaan minda (faculty), kewangan (finance), pelaburan (investment), penyelidikan (research) dan pemasaran (marketing). Memang kerangka ini tuntas dan sesuai dengan konsep pelestarian.
Selain itu, pada hemat saya, kita memerlukan dua komponen lain, iaitu pendidikan lebih mantap dan berterusan dan pelaksanaan pada seluruh peringkat. Pendidikan penting kerana pelestarian tidak cukup sekadar kesedaran awam. Pada hemat saya, kesedaran adalah petanda awal mengenai kejayaan pelestarian. Untuk sampai ke peringkat lebih tinggi maka masyarakat perlu dididik tentang aspek penting pelestarian sama ada menerusi saluran formal, bukan formal atau tidak formal.
Hal ini penting kerana kesedaran saja sekadar menjadikan seseorang prihatin tetapi sering bertindak secara tidak rasional dalam menanggapi isu alam sekitar. Misalnya, loji rawatan termal atau insinerator untuk sisa pepejal. Hal ini lebih ketara dalam isu loji nuklear.
Selain pendidikan, kita juga perlu memberi keutamaan kepada aspek pelaksanaan dasar pelestarian alam sekitar. Perlu ditegaskan bahawa dasar dan perundangan alam sekitar di Malaysia setara dengan kebanyakan negara maju. Akta Kualiti Alam Sekeliling misalnya, digubal pada 1974, seiring dengan perkembangan di Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Eropah ketika itu.
Aspek pelaksanaan membabitkan mekanisme perundangan dan penguatkuasaan, kepatuhan awam, komitmen pihak berkepentingan, penilaian dan timbal balas dan usaha berterusan untuk meningkatkan kestabilan ekosistem secara menyeluruh.
Selain itu, kita memerlukan petunjuk utama prestasi alam sekitar sesuai dengan konsep pelestarian. Hal ini perlu difahami kerana kebanyakan instrumen dan kerangka perundangan dirangka secara tidak menyeluruh menerusi pelbagai kementerian dan agensi awam. Akibatnya komponen alam sekitar diuruskan secara terpisah mengikut garisan dan bidang kuasa kementerian masing-masing.
Itulah rasional dan relevan penggunaan Indeks Pencapaian Alam Sekitar (EPI) yang dikemukakan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sebagai petunjuk kumulatif terhadap semua inisiatif membabitkan pelestarian alam sekitar. Kita seharusnya teruja apabila Datuk Douglas Uggah Embas bersetuju menggunakan EPI sebagai KPI beliau sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar!
Selain itu, aspek pelaksanaan juga memerlukan komitmen dari segi gaya hidup lestari mempunyai sekurang-kurangnya tiga tindakan utama, iaitu amalan bersederhana dalam kehidupan harian, berbelanja menurut kemampuan dan keperluan dan proaktif dalam aktiviti melestarikan alam sekitar menerusi pelbagai arena, genre dan bidang.
Amalan hidup sederhana adalah ajaran agama bukan saja Islam, bahkan semua agama. Sederhana maksudnya tidak keterlaluan dan berlebihan dari segala segi, khususnya yang membabitkan perbelanjaan dan gaya hidup. Sederhana bermakna kita perlu mengkaji buruk baik sebelum melakukan setiap tindakan agar mencapai matlamat dengan efisien dan efektif dengan biaya optimum.
Selain itu, kepenggunaan lestari juga mementingkan alam sekitar. Ketika ini banyak barang dan perkhidmatan mesra alam yang mematuhi pelbagai piawaian alam sekitar. Hal ini memudahkan pengguna memilih supaya dapat membantu melestarikan alam sekitar. Dari segi kuantum, pengguna barang dan perkhidmatan mesra alam di Amerika Syarikat dan United Kingdom saja membelanjakan AS$500 bilion setahun. Trend ini dijangka akan terus meningkat dan melangkaui sempadan negara maju. Paling ketara ialah kereta hibrid dengan pertumbuhan 2,296 peratus sejak mula diperkenalkan pada 2000.
Dengan kata lain, Bajet 2011 perlu mengambil kira pelbagai aspek pelaksanaan secara menyeluruh sesuai dengan gagasan ekonomi karbon neutral yang menjadi inti pati EPI.
Prof Datuk Zaini Ujang ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia dan penulis buku Minda Lestari (UTM Press, 2009)
* Sumber: Berita Harian Online 2010/07/08
Golden Gate, Casino & Skypod - Mapyro
BalasPadamThe 나주 출장마사지 Golden Gate Hotel 광명 출장샵 and Casino was 계룡 출장마사지 voted Best Hotel in 제주도 출장안마 the United States by Trip Advisor in 밀양 출장샵 April 2017. Golden Gate is home to the Star Entertainment Group.